AZURIN masih terkilan gagal ke Jepun. FOTO  NAZRI ABU BAKAR
AZURIN masih terkilan gagal ke Jepun. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


PENJAGA gol wanita negara Nurul Azurin Mazlan berazam untuk kembali mendapat tempat berlatih di luar negara selepas musim Covid-19 berakhir di seluruh dunia.

Dia yang terlepas peluang menjalani latihan di Jepun yang dijadualkan pada September tahun lalu akibat menghidap Influenza B mengakui amat terkilan gagal ke negara terbabit.

Katanya, selepas tiket semuanya diperolehi dan barangan keperluan sudah siap sedia namun serangan penyakit terbabit ke atas dirinya menjelang beberapa hari sebelum berlepas menghalangnya memperoleh tawaran istimewa terbabit.

“Memang saya terkilan sehingga kini. Malah musim Covid -19 ini menggingatkan saya kepada Infulenza yang dihidapi.

“Justeru saya mengharapkan ada peluang kedua selepas ini untuk menjalani latihan di luar negara terutama di Jepun, dalam meningkatkan keupayaan dan kemahiran sebagai penjaga gol,”katanya.

Dia berkata, masih yakin ada ruang buatnya untuk menimba ilmu di negara matahari terbit itu, namun apa yang penting dia terus memberikan yang terbaik bersama pasukan negara.

Dia yang terpaksa ditahan selama dua hari di hospital dan terpaksa dikuarantin akibat serangan itu juga mendoakan Covid-19 di negara dan dunia akan berakhir.

Awal tahun lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bagi mewujudkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatihan.

Kerjasama membabitkan kepentingan serta pembangunan termasuk bola sepak wanita selain pentadbiran, pengkomersilan dan penajaan pendapatan itu antara langkah postif di bawah badan induk bola sepak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:08 PM