KETUA jurulatih Selangor itu lebih fokus lahir ‘Ronaldinho’ dikalangan pemain Selangor. -Foto OWEE AH CHUN
KETUA jurulatih Selangor itu lebih fokus lahir ‘Ronaldinho’ dikalangan pemain Selangor. -Foto OWEE AH CHUN
Zulfaizan Mansor


KETUA jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir lebih fokus untuk melahirkan ‘Ronaldinho’ sendiri berbanding memikirkan untuk mendapat khidmat bekas pemain terbaik dunia itu ke dalam skuad The Red Giants.

Nazliazmi mengulas pertanyaan adakah beliau berminat untuk membawa bekas pemain Barcelona itu ke Selangor selepas Ronaldinho sendiri menyatakan minat untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) walaupun tanpa sebarang bayaran.

“Secara peribadi, setiap jurulatih ada pendapat dan impian masing-masing. Perkara ini (mendapatkan khidmat Ronaldinho) terpulang kepada perancangan dan objektif pihak pengurusan.

“Lebih baik saya fokus kepada apa yang kami buat sekarang dan mana tahu saya dan pasukan Selangor dapat melahirkan pemain yang setaraf Pablo Aimar dan Ronaldinho,” kata Nazliazmi.

Sukan NSTP semalam, melaporkan Ronaldinho yang bersara pada Januari lalu tanpa berselindung menyatakan hasratnya itu ketika ditemui pada majlis Jelajah Trofi Liga Juara-Juara di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang.

“Ia bukan gurauan (bermain di Malaysia). Saya suka bermain bola sepak di sini. Saya suka bermain di tempat di mana orang amat meminati bola sepak dan mereka yang menerima saya dengan baik.

“Saya berminat untuk bermain dengan kelab Malaysia, mungkin saya akan bermain secara percuma,” kata Ronaldinho.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur tampak teruja ketika diminta mengulas mengenai hasrat luar jangkaan yang diluahkan Ronaldinho.

Maciel bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada beliau berminat atau sebaliknya untuk cuba membawa masuk pemain bola sepak terkenal Brazil itu ke dalam skuad The City Boys.

“Sangat luar biasa, dia (Ronaldinho) antara seorang pemain terbaik dunia. Jika dia sertai bola sepak di Malaysia, ia pasti menjadi satu perkara yang menakjubkan. Tapi saya tidak pasti kerana dia sudah bersara sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 12:42 PM