Marouane Fellaini kini menjalani rawatan di Hospital Jinan, China. FOTO Agensi
Marouane Fellaini kini menjalani rawatan di Hospital Jinan, China. FOTO Agensi
Agensi

BEKAS pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Twitter, pemain berusia 32 tahun itu, kini berada di kelab China, Shandong Luneng berkata dia berharap “untuk dapat kembali beraksi secepat mungkin.”

Fellaini juga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan rakan dan penyokong mengenai keadaan dirinya. Dia percaya akan pulih segera dan kembali kuat.

Laporan media China berkata Fellaini dikuarantin di Hospital Jinan yang juga pakar bagi wabak berkenaan.

Menurut laman web Shandong Luneng, pemain kelahiran Belgium itu tidak menunjukkan simptom Covid-19, termasuk demam dan batuk.

“Kelab akan melakukan yang terbaik untuk memastikan setiap pemain yang dijangkiti mendapat rawatan sepatutnya. Kami berharap dia pulih segera,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Shandong Luneng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:51 AM