ARTETA turut menjadi mangsa Covid-19. FOTO AGENSI
ARTETA turut menjadi mangsa Covid-19. FOTO AGENSI
Susunan Aida Adilah Mat

PEMAIN Chelsea, Callum Hudson-Odoi dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta semalam menjadi mangsa terbaru wabak Covid-19 dengan lebih ramai lagi pemain Arsenal dikhuatiri positif virus itu.

Ini susulan pemilik kelab Greek, Olympiakos, Evangelos Marinakis didapati positif virus itu selepas berkunjung ke Stadium Emirates, London, untuk aksi Liga Europa kedua-dua pasukan baru-baru ini.

Berikutan perkembangan itu, pemain Arsenal kini diarahkan menjalani kuarantin kerana kebimbangan penularan wabak yang semakin mengganas sehingga dua jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Arsenal iaitu Rabu lalu menentang Manchester City dan di Brighton hari ini juga dibatalkan selepas Arteta diuji positif Covid-19.

Lebih membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melabelkan wabak Covid-19 sebagai pandemik yang boleh menjangkiti mana-mana individu sekali gus menggusarkan banyak pihak.

Ini menyebabkan penganjur EPL memutuskan untuk mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan sama ada akan meneruskan perlawanan liga mengikut jadual atau sebaliknya.

Hingga semalam, seramai 4,600 orang meninggal dunia selain menjangkiti 127,000 penduduk di 115 negara dan wilayah.

Sementara itu, tiga pemain Leicester City dan seorang pemain Manchester City yang tidak dimaklumkan namanya diarahkan menjalani proses kuarantin selepas menunjukkan gejala Covid-19.

Bukan hanya aksi EPL yang terjejas, saingan La Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara membabitkan Juventus menentang Lyon, Manchester City bertemu Real Madrid turut ditunda dan biarpun perlawanan Barcelona menentang Napoli, Bayern Munich bertemu Chelsea diteruskan, ia akan berlangsung tanpa penonton.

Persekutuan Bolasepak Perancis pula semalam memutuskan untuk menggantung semua perlawanan sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak, manakala aksi Serie A Itali juga direhatkan sehingga 3 April.

Semua pemain dan kakitangan pasukan Juventus, Real Madrid, Chelsea kini diarahkan untuk dikuarantin dengan perlawanan membabitkan pasukan itu terpaksa ditunda.

Kelmarin pertahanan Juventus, Daniele Rugani memaklumkan dia kini berada dalam keadaan stabil, selepas kelabnya mengesahkan dia positif Covid-19, iaitu pemain pertama Serie A dijangkiti virus berkenaan.

Bintang kelab itu, Cristiano Ronaldo pula diarahkan untuk dikuarantin di Madeira, Portugal selepas pulang ke kampung halamannya minggu lalu untuk melawat ibunya yang diserang strok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:01 AM