Hamidin (kanan) bersama Reezal Merican. FOTO FAM
Hamidin (kanan) bersama Reezal Merican. FOTO FAM
Firdaus Hashim


PELANTIKAN Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican sebagai Menteri Belia dan Sukan jelas memberi sinar dan harapan baharu buat dunia sukan tanah air terutamanya bola sepak.

Beliau yang baharu dilantik bagi menggantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak menunggu lama untuk memulakan tugasnya apabila dikunjungi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di kediamannya di Shah Alam, semalam.

Dalam pertemuan itu, Hamidin berkongsi mengenai aspirasi dan hala tuju bola sepak negara.

Malah, Reezal turut meluahkan hasrat untuk melihat sukan nombor satu itu terus berkembang sekali gus membantu melonjakkan lagi mutu dan kualiti bola sepak tempatan.

Menurut Reezal, beliau cukup gembira kerana memiliki Hamidin sebagai salah seorang pemimpin persatuan sukan di bawah kementeriannya ini, sekali gus yakin kerjasama erat mampu dibentuk di antara KBS dan juga FAM pada masa akan datang.

"Beliau (Hamidin) memberikan input yang cukup berguna kepada saya, bukan saja berkaitan bola sepak, malah sukan-sukan lain kerana saya tahu beliau seorang yang cukup berpengalaman iaitu sudah berada dalam landskap sukan negara hampir selama 30 tahun.

"Bagi bola sepak, saya gembira melihat bola sepak negara kita semakin menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini dan adalah menjadi harapan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan untuk melihat bola sepak kita akan terus meningkat maju ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan pastikan ia akan dapat direalisasikan," katanya.

Reezal pada Isnin lalu diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Sementara itu, Hamidin mengakui pelantikan Ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang itu amat tepat dan yakin Reezal mampu menggalas tugas berkenaan.

"Nampaknya pada hari pertama selepas Datuk Sri Reezal Merican mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau sudah memulakan kerja dengan mahu mendapatkan input berkaitan sukan apabila kami bertemu di rumahnya.

"Beliau nampak begitu meminati sukan dan beliau bersikap cukup terbuka untuk bertukar pendapat serta mendengar pandangan daripada saya.

Malah beliau ingin mengetahui segalanya tentang bola sepak dan sedikit sebanyak sudah saya terangkan kepada beliau.

"Saya melihat kehadiran Datuk Sri Reezal Merican sebagai Menteri Sukan yang baharu ini sebagai sesuatu yang cukup positif untuk sukan negara," kata Hamidin.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 12:21 PM