BAHADER berusia 74 tahun.  FOTO Agensi
BAHADER berusia 74 tahun. FOTO Agensi
Agensi

SEORANG datuk berusia 74 tahun muncul pemain tertua di dunia menjaringkan gol dalam perlawanan rasmi selepas melakukannya ketika beraksi bersama kelab October 6 dalam divisyen tiga Mesir, Sabtu lalu.

Ezzeldin Bahader kini memburu gelaran pemain profesional paling tua dengan menepati kriteria Rekod Dunia Guiness yang memerlukan dia beraksi penuh dua perlawanan rasmi apabila kelab baharunya berentap pada Match 21 dalam jadual Kumpulan Lima.

Rekod sekarang dipegang penjaga gol Israel, Isaak Hayik yang mewakili FC Ironi OR Yehuda pada April 2019 ketika berusia 73 tahun dan tampak mampu dipintas Bahader yang lahir pada 3 November 1945.

Pemain tengah menyerang itu yang beraksi kali pertama di atas jalan Kaherah ketika berusia enam tahun menjaringkan gol October 6 pada Sabtu lalu menerusi penalti ketika seri 1-1 dengan Genius dalam aksi liga dan dia menggunakan jurulatih persendirian untuk mengekalkan kecergasan.

Pada Januari lalu, datuk kepada enam cucu, Bahader didaftarkan sebagai pemain profesional dengan Persatuan Bolasepak Mesir selepas menghabiskan masa sebagai konsultan kejuruteraan sivil sebelum bersara.

"Saya menjadi pemain profesional paling tua menjaringkan gol dalam perlawanan rasmi,” kata pemain veteran itu kepada BBC Sport.

"Ia dicapai pada minit akhir perlawanan, sesuatu yang saya fikir sukar melakukannya. Saya cedera dan apa yang saya harapkan untuk meneruskan 90 minit perlawanan dan beraksi perlawanan seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 2:45 PM