AKSI Haaland menjaringkan gol pertama  Dortmund. FOTO Reuters
AKSI Haaland menjaringkan gol pertama Dortmund. FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG muda sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland menjaringkan dua gol dalam tempoh lapan minit bagi membantu pasukannya menang 2-1 ke atas Paris St Germain dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara Juara di Westfalenstadion, awal pagi tadi.

Pemain Norway berusia 19 tahun itu yang mengumpul lapan gol dalam lima aksi Bundesliga menolak bola masuk dari jarak dekat pada minit ke-69.

Dia kemudiannya meledak rembatan kencang gol keduanya pada minit ke-77, hanya dua minit selepas penyerang Brazil, Neymar menyamakan kedudukan buat juara Perancis itu.

Haaland, pemain Dortmund pertama menjaringkan gol pada penampilan pertama liga, Piala Jerman dan Liga Juara Juara kini meledak 10 gol dalam tujuh aksi elit Eropah musim ini termasuk lapan untuk Salzburg pada saingan peringkat kumpulan, pencapaian lebih pantas berbanding mana-mana pemain.

Dia muncul pemain remaja kedua menjaringkan 10 gol Liga Juara Juara selepas Kylian Mbappe dan remaja pertama menjaringkan 10 gol dalam satu musim kejohanan selain pemain pertama meledak jaringan buat dua pasukan berbeza dalam musim sama.

"Saya masih perlu perbaiki prestasi dan terus bekerja keras,” kata Haaland. "Saya mahu pergi lebih jauh dalam Liga Juara Juara. Dengan gol kedua saya nikmati saat itu.”

PSG yang tersingkir pada peringkat sama sejak tiga musim lalu menurunkan Neymar dan penyerang Perancis, Mbappe tetapi gagal menyerlah selepas dikawal ketat pertahanan Dortmund.

"Mungkin kami sepatutnya seri dengan Dortmund tetapi mereka sangat bagus,” kata pertahanan PSG, Thomas Meunier.

"Mereka tidak tewas lagi di tempat sendiri musim ini dan hari ini kami menyaksikannya, memang sukar. Kami fikir mereka bermasalah di bahagian pertahanan tetapi kami tidak banyak mencipta peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:59 AM