HAALAND dan Dortmund menerima kunjungan PSG, awal pagi Rabu ini. FOTO Agensi
HAALAND dan Dortmund menerima kunjungan PSG, awal pagi Rabu ini. FOTO Agensi
Agensi

ERLING Braut Haaland semakin berbisa bersama Borussia Dortmund dan penyerang berusia 19 tahun itu yang menyertai kelab Jerman dengan harga £17.1 juta (RM92 juta) bulan lalu dipilih Pemain Bundesliga Terbaik Januari walaupun hanya beraksi tak sampai satu jam di atas padang.

Bagaimanapun, dia menjaringkan lima gol dalam tempoh 59 minit atau satu gol setiap 11.8 minit.

Bintang muda Norway itu masuk sebagai pemain gantian pada penampilan pertama ketika menentang FC Augsburg dan meledak hatrik dalam masa 23 minit sebelum dua kali membolosi gawang Cologne minggu berikutnya juga sebagai pemain gantian.

Selepas perlawanan itu, pengurus Dortmund, Lucien Favre menyifatkan Haaland penyerang tidak boleh disekat dan berkata sangat fantastik memiliki pemain seperti dia.

Momentum Haaland berterusan pada Februari dengan menjaringkan dua gol ketika menentang Union Berlin dan satu gol menembusi gawang Eintracht Frankfurt pada Khamis lalu.

Bekas pemain Red Bull Salzburg itu telah menjaringkan 37 gol dalam 28 aksi kelab musim ini.

Dia akan kembali beraksi menentang Paris St-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu selepas mengumpul lapan jaringan ketika peringkat kumpulan bersama Salzburg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:10 PM