AKSI Haaland bersama Borussia Dortmund. -FOTO AFP
AKSI Haaland bersama Borussia Dortmund. -FOTO AFP
Agensi

London: Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick dilaporkan berminat untuk membawa Erling Haaland ke Old Trafford dan kini sudahpun menghubungi bapa penyerang Borussia Dortmund itu.

United sebelum ini mengambil kesempatan untuk membawa pulang Cristiano Ronaldo apabila penyerang Portugal itu berhasrat meninggalkan Juventus.

Kepulangan Ronaldo menjadi perpindahan penuh dramatik pada 2021, melengkapkan perpindahan mengejutkan ketika ramai mengatakan Manchester City menjadi pilihan.

Impak Ronaldo masih belum goyang apabila dia berjaya menyumbat 13 gol dari 18 penampilan sejak menyarung jersi lamanya iaitu nombor tujuh.

Namun ia tidak merubah perancangan jangka panjang kelab yang berhasrat untuk mendapatkan Haaland dari Borussia Dortmund.

Menurut laporan media, Rangnick sudahpun mengadakan perbincangan terbuka dengan ayah Haaland, Alf-Inge dan mempunyai hubungan baik dengan keluarga itu semasa berada di RB Salzburg.

Menandatangani Ronaldo tidak mengubah keinginan mereka untuk membelanjakan wang besar bagi mendapatkan formasi yang diinginkan Rangnick 4-2-2-2 yang membuka kemungkinan kedua-dua pemain itu digabungkan.

Perkara itu turut pernah diluahkan oleh Haaland yang sebelum ini menyifatkan Ronaldo sebagai idolanya dalam bola sepak.

Haaland pernah berkata: "Saya ingin bertemu dengannya dan memberitahunya bahawa saya sebagai seorang pemain bola sepak ingin berterima kasih kepadanya.

"Bagi saya, dia sentiasa menjadi contoh dan teladan."

"Saya hanya memikirkan diri saya sendiri untuk mempertingkatkan permainan saya setiap hari. Saya tidak perlu bercakap mengenai Messi dan Ronaldo, mungkin pemain terbaik dalam sejarah.

"Saya masih perlu melakukan banyak perkara untuk mencapai tahap seperti mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 10:45 AM