Mayweather bersama jaket cerminnya. FOTO Instagram
Mayweather bersama jaket cerminnya. FOTO Instagram
Agensi/Esme Jo

LEGENDA tinju Floyd Mayweather sekali lagi menunjukkan kekayaan dimilikinya apabila tampil dengan jaket ‘cermin’ bernilai £13,400 (RM72,000).

Juara bertahan tidak pernah kalah itu yang terkenal dengan sikap suka menunjuk-nunjuk membelanjakan duitnya untuk jet peribadi, jam tangan mahal dan koleksi pelbagai kereta sport mewah.

Dikenali sebagai Money Man, pembelian terbarunya itu boleh dianggap hanya sedikit saja tetapi cukup membuatkannya menyerlah apabila membuat penampilan.

Mayweather, 42, yang berada di Atlanta menyaksikan protege belum tewas, Gervonta Davis meraih gelaran lighweight selepas menewaskan Yuriorkis Gamboa, kelmarin.

Dia mengirimkan fotonya menyarung jaket itu ke Instagram dan turut meletakkan tanda harga jaket itu.

Keterangan gambar ditulisnya adalah: "Anda perlu melihat lelaki di dalam cermin sebelum membuat penilaian."

Mayweather jelas tidak mahu ketinggalan apabila berbelanja tinggi untuk keluarganya pada Krismas.

Selepas membelikan anak perempuannya berusia 19 tahun Iyanna sebuah Mercedes Benz G63 berharga £140,000 (RM756,000), dia kemudian turut membeli kereta baru Rolls Royce Cullinan putih berharga £264,000 (RM1.4j) serta kereta baru Bentley Continental GT Mulliner untuk dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 10:31 PM