FORSBERG (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan di Arena Red Bull. — FOTO Reuters
FORSBERG (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan di Arena Red Bull. — FOTO Reuters
Reuters

EMIL Forsberg menyumbat dua gol lewat untuk membantu RB Leipzig seri 2-2 dengan Benfica awal pagi tadi yang menyaksikan kelab Bundesliga itu layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Pemain kebangsaan Sweden itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 dan kemudian menanduk masuk gol pada masa kecederaan untuk membolehkan kelab Jerman itu mara dengan berbaki satu perlawanan sekali gus menamatkan impian Benfica mara lebih jauh.

Jaringan Pizzi dan Carlos Vinicius meletakkan pelawat di depan sebelum dua gol lewat Forsberg melengkapkan kebangkitan tuan rumah.

Leipzig mengumpul 10 mata dalam Kumpulan G manakala Zenit St Petersburg melonjak dengan tujuh mata selepas menang 2-0 ke atas Olympique Lyonnais, yang menghuni tangga ketiga menerusi perbezaan gol. Benfica di tangga tercorot dengan empat mata.

“Layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah kelab bermakna kami melakukan perkara yang betul dan menuju ke arah yang tepat. Saya terlalu bangga,” kata Forsberg.

Leipzig memerlukan hanya satu mata untuk memastikan tempat ke peringkat kalah mati namun penjaga gol Benfica, Odisseas Vlachodimos menafikan Christopher Nkunku dalam keadaan satu lawan satu pada babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:51 AM