HOENESS akhiri pentadbiran di Bayern Munich selama 40 tahun Sabtu ini. FOTO Zimbio
HOENESS akhiri pentadbiran di Bayern Munich selama 40 tahun Sabtu ini. FOTO Zimbio
AFP

SELEPAS membentuk Bayern Munich menjadi salah satu pasukan terkuat Eropah, kemudian dipenjara kerana mengelak cukai, Uli Hoeness akan mengakhiri pentadbiran selama 40 tahun di kelab gegasi Jerman itu apabila meletak jawatan sebagai presiden kelab Sabtu ini.

Hoeness akan meletak jawatan secara rasmi pada mesyuarat agung tahunan Sabtu ini selepas mencalonkan Herbert Hainer, bekas CEO pakaian sukan Adidas untuk menggantikannya tetapi beliau akan kekal sebagai lembaga pemantau kelab itu sekurang-kurangnya empat tahun lagi.

Sejak tokoh berusia 67 tahun itu menyertai pengurusan kelab selepas bersara daripada karier permainannya empat dekad lalu dengan kejayaan menjulang tiga Piala Eropah, Bayern mendominasi Bundesliga dan menjadi juara Eropah empat kali.

“Saya fikir seseorang seperti Uli Hoeness tidak akan berhenti, beliau mempunyai hati Bayern, jadi beliau akan terus terikat kepada kami,” kata kapten Bayern Manuel Neuer hari ini.

Beliau mewariskan Bayern kepada Hainer dengan kekayaan luar biasa, menjana pulangan 750 juta euro (RM3.43 bilion) dan keuntungan dilaporkan 52 juta euro (RM237.8 juta).

Kelab itu mempunyai keahlian 300,000 orang dan lebih 1,000 kakitangan manakala stadium Allianz Arena sudah pun selesai dibayar.

Keadaan itu jauh berbeza berbanding ketika beliau menjadi pengurus kelab pada 1 Mei 1979, selepas kecederaan lutut yang menamatkan kariernya dengan Bayern menanggung hutang 7 juta Deutschmarks (kira-kira 3.5 juta euro (RM16 juta) mengikut tukaran kewangan terkini).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 10:29 AM