LUCAS Hernandez akan menyertai Bayern Munich dengan yuran perpindahan 80 juta euro (RM367.2 juta) musim panas ini. FOTO EPA
LUCAS Hernandez akan menyertai Bayern Munich dengan yuran perpindahan 80 juta euro (RM367.2 juta) musim panas ini. FOTO EPA
AFP

Pertahanan Atletico Madrid dan Perancis Lucas Hernandez akan menyertai Bayern Munich dengan yuran perpindahan 80 juta euro (RM367.2 juta) musim panas ini, umum kelab Jerman itu awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia berusia 23 tahun itu akan menandatangani kontrak lima tahun bermula 1 Julai, kata Bayern dalam satu kenyataan.

Bayaran 80 juta euro itu juga akan menjadikannya pemain termahal dalam sejarah Bayern, hampir sekali ganda berbanding Corentin Tolisso.

Ia juga menjadikan Hernandez sebagai antara pertahanan termahal dalam sejarah dan antara pemain termahal pernah dibeli sebuah kelab Jerman.

“Saya amat gembira kami berjaya mendapatkan Lucas Hernandez, iaitu pemenang Piala Dunia dan antara pertahanan terbaik di dunia,” kata pengarah sukan Bayern Hasan Salihamidzic.

"Lucas boleh bermain di posisi bek tengah bek kiri. Dia akan mengukuhkan pasukan kami dan meneruskan tradisi pemain Perancis hebat di kelab kami.”

Pegumuman pembelian terbaharu itu adalah petanda baharu mengenai rombakan besar-besaran Bayern musim panas ini.

Bayern tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada pusingan 16 terakhir dan awal bulan ini presiden kelab Uli Hoeness mengumumkan Bayern melancarkan ‘program pelaburuan terbesar pernah dilakukan kelab itu’.

Pada Januari, Bayern mengumumkan seorang lagi pertahanan Perancis Benjamin Pavard akan menyertai kelab itu dari Stuttgart musim panas ini dengan bayaran 35 juta euro (RM160.6 juta).

Penyerang Hamburg Jann Fiete Arp,19, juga akan menyertai Munich pada musim panas 2020.

Ketibaan muka baharu itu mungkin menolak keluar beberapa nama popular di kelab itu. Pemain sayap veteran Arjen Robben dan Franck Ribery dijangka bakal menamatkan karier mereka di Bayern musim panas ini dan wujud spekulasi beberapa nama besar turut meninggalkan kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 11:24 AM