Alex (73) raih kejuaraan dunia Moto2 di Sepang. FOTO REUTERS
Alex (73) raih kejuaraan dunia Moto2 di Sepang. FOTO REUTERS
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA EG 0,0 Marc VDS, Alex Marquez mengesahkan kejuaraan dunia Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini meskipun menamatkan perlumbaan di podium kedua.

Adik kepada juara dunia lapan kali, Marc Marquez itu ketinggalan hanya 0.758s di belakang pemenang dan seteru utama gelaran dunia, Brad Binder (Red Bull KTM Ajo) manakala tempat ketiga milik pelumba Dynavolt Intact GP, Thomas Luthi.

Kedudukan Marquez tidak mampu lagi diatasi pelumba lain apabila dia mengumpul 262 mata dengan Binder kedua 234 mata ketika berbaki satu pusingan di Valencia, Sepanyol pada 17 November.

Dalam saingan Moto3, Lorenzo Dalla Porta dari pasukan Leopard Racing mendominasi saingan selepas mencatatkan masa 38 minit 01.355s.

Pelumba Estrella Galicia 0,0, Sergio Garcia berada di tempat kedua ketinggalan hanya 0.410s manakala Jaumie Masia ketiga.

Pelumba pasukan negara, Petronas Sprinta Racing, John McPhee menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh manakala rakan sepasukan, Ayumu Sasaki gagal menamatkan kerana terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 3:10 PM