SAMATTA (depan) bersaing dengan penyerang Salzburg, Antoine Berned. — FOTO AFP
SAMATTA (depan) bersaing dengan penyerang Salzburg, Antoine Berned. — FOTO AFP
AFP

KETIKA Liverpool berharap Mohamed Salah kembali bergandingan dengan Sadio Mane di bahagian serangan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Genk di Belgium awal pagi Khamis ini, lawan mereka turut mempunyai bintang Afrika yang menyinar di negaranya sendiri.

Mbwana Samatta meledak 23 gol musim lalu untuk mengemudi kelab dari pusat perlombongan Belgium itu menjuarai liga sekali gus kembali ke pertandingan kelab elit Eropah.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudian muncul pemain pertama Tanzania beraksi dalam Liga Juara-Juara dan menjaringkan gol ketika Genk tewas 2-6 di tangan Salzburg pada aksi pembukaan Kumpulan E.

Sejak itu mereka mengekang Napoli 0-0 di laman sendiri, keputusan yang memberi sinar harapan buat kelab itu mencetus kejutan menentang penyandang juara Eropah.

“Sesetengah orang berasakan ia mungkin sukar buat kami menentang Napoli tapi sebenarnya kami patut menang perlawanan itu. Kami akan memberikan segala-galanya di laman sendiri,” kata jurulatih Genk, Felice Mazzu.

MAZZU kagum dengan kebolehan Samatta. — FOTO AFP
MAZZU kagum dengan kebolehan Samatta. — FOTO AFP

Ketika Genk membentuk serta menjual pemain seperti Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne, Kalidou Koulibaly, Christian Benteke dan Wilfred Ndidi – Divock Origi turut menghabiskan masa di kelab itu sebagai pemain remaja – jadi pemain tonggak kejuaraan musim lalu dibenar meninggalkan kelab.

Bagaimanapun, Samatta kekal di sebalik minat terhadapnya di sekitar Eropah, termasuk tawaran 10 juta euro (RM46.5 juta) daripada Dynamo Moscow.

“Dia seorang penyerang yang lengkap, bagus dengan kedua-dua kaki, teknikal, mempunyai kemahiran tinggi,” kata Mazzu.

Bekas bintang Simba dan TP Mazembe itu merangkul anugerah Kasut Ebony bagi pemain terbaik berasal dari Afrika di Belgium musim lalu, mengikut jejak langkah antaranya Romelu Lukaku, Vincent Kompany dan Marouane Fellaini.

Dia menggambarkan memenangi liga sebagai “malam terbaik dalam kehidupan saya setakat ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:01 PM