AKSI Haaland menjaringkan gol pertama Salzburg di Red Bull Arena.   - FOTO Reuters
AKSI Haaland menjaringkan gol pertama Salzburg di Red Bull Arena. - FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Salzburg, Erling Braut Haaland muncul pemain ketiga termuda meledak hatrik ketika juara Austria membelasah Genk 6-2 dalam aksi Liga Juara Juara awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu mengumpul 17 gol daripada sembilan perlawanan bersama Salzburg musim ini.

Hanya legenda Real Madrid, Raul (18 tahun 113 hari) dan bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney (18 tahun 340 hari) menjaringkan hatrik dalam kejohanan berprestij Eropah itu manakala Haaland melakukannya pada usia 19 tahun 58 hari.

Dia juga pemain pertama menjaringkan lebih satu gol dalam aksi pertama sejak Rooney meledak hatrik buat United ketika menentang Fenerbahce pada 2004.

Haaland menyimpan hasrat tinggi dengan menjadikan kejayaan Ajax yang mara ke separuh akhir musim lalu sebagai inspirasi.

"Semua boleh berlaku. Kita semua menyaksikan Ajax melakukannya tahun lalu dan sudah pasti lebih manis dengan menjadi Ajax baharu,” kata pemain Norway itu kepada uefa.com.

"Tetapi banyak lagi pasukan bagus. Ia sukar tapi tak mustahil.”

Perlawanan itu yang pertama Salzburg di peringkat kumpulan sejak tewas 0-1 kepada AC Milan pada Disember 1994.

"Haaland pemain hebat malah paling penting dia masih muda,” kata jurulatih dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch. “Kami bertuah memilikinya di sini dan dia mampu pergi lebih jauh.”

Haaland meletakkan pasukannya didepan pada minit kedua sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-34.

Hwang Hee-chan menjaringkan gol ketiga dan selepas Jhon Lucumi merapatkan kedudukan, Haaland melengkapkan hatriknya pada minit ke-45.

Dominik Szoboszlai menjaringkan gol kelima sejurus sebelum rehat. Genk bangkit memberi tentangan pada babak kedua dan tujuh minit selepas itu Mbwana Samatta membolosi gawang tuan rumah menerusi tandukan. Andreas Ulmer melengkapkan malam gemilang Salzburg dengan menjaringkan gol keenam.

Kemenangan itu membolehkan Salzburg mendahului Kumpulan E mengatasi Napoli yang menewaskan juara bertahan Liverpool 2-0 di Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:49 AM