Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP
Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PEMAIN perlu kembali fokus untuk memburu kemenangan ke atas Pahang pada aksi separuh akhir kedua bagi melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak yang berjaya membawa skuad Lang Merah menjuarai Piala FA musim ini menaruh keyakinan peluang pasukannya masih terbuka selepas skuadnya menamatkan perlawanan separuh akhir pertama dengan keputusan seri 3-3 ke atas Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

"Yang penting apabila kita pergi ke sana (Kuantan) kita tidak boleh fikir yang Pahang ada tiga gol dan kita harus lakukan tugas kita dengan profesional kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh masa 90 minit."

"Kita tahu di Kuantan, Pahang merupakan pasukan yang tidak mudah kita tentangi kerana berhadapan pasukan yang berpengalaman dari segi pemain dan juga jurulatihnya.

"Kita akan terus bekerja keras dan hadir ke sana dengan sikap tidak mahu mengalah dan yang penting kita harus terus berusaha untuk mendapat keputusan yang kita inginkan nanti dengan berusaha dua kali ganda dari apa yang kita hasilkan pada hari ini (semalam).” katanya.

Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata dia akan memilih kombinasi pemain terbaik pada perlawanan di Kuantan pada 26 Oktober ini.

"Dalam masa dua tiga hari ini saya akan lihat bagaimana persiapan yang akan berlaku dan memilih mana-mana pemain yang akan beraksi nanti selepas memastikan tahap pemain yang bebas dari kecederaan."

"Saya akan tengok kesesuaian pemain terbaik yang akan dipilih beraksi di Kuantan dan selepas latihan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 1:10 PM