AGBA (tengah) menjaringkan gol kedua PDRM di Stadium Hang Jebat. — FOTO Bernama
AGBA (tengah) menjaringkan gol kedua PDRM di Stadium Hang Jebat. — FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


JARINGAN penalti Safiq Rahim pada babak kedua membantu Melaka United mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun seri 2-2 dengan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Bagaimanapun The Cops hampir membuatkan Melaka berputih mata selepas mendahului 2-1 sebelum penalti bekas kapten kebangsaan itu menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Keazaman tinggi Melaka kendalian Zainal Abidin Hassan untuk menang dilihat amat meyakinkan dan gol pertama mereka dihasilkan seawal minit ksembilan kesembilan menerusi rembatan kencang Luka Milunovic untuk menceriakan kira-kira 2,000 penyokong setia.

Gol itu berpunca daripada hantaran jauh Safiq membolehkan Milunovic melarikan bola ke dalam kotak penalti sebelum mudah mencetak gol pembukaan menewaskan penjaga gol See Tian Keat.

Bagaimanapun selang seminit selepas itu jaring skuad Hang Tuah pula bocor menerusi rembatan menarik dari jarak 30 meter oleh Fakrul Aiman Sidid.

Uche Agba yang tidak dikawal menolak masuk gol kedua selepas menerima hantaran Fakrul pada minit ke-31 sekali gus meletakkan pasukannya di depan sebelum menuju bilik persalinan.

Melaka kembali menghidupkan peluang selepas Safiq menyamakan kedudukan dengan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-54.

Tindakan pemain PDRM, Khairul Izuan Abdullah menjatuhkan Patrick Reichelt mendorong pengadil Suhaimi Mat Hassan menghadiahkan sepakan penalti itu.

Satu mata sudah memadai buat Melaka mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini walaupun sekadar muncul naib juara Kumpulan D di belakang Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:04 AM