GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Saiful Affendy Sapran


SERAMAI 19 pemain terpilih untuk mengggalas tanggungjawab beraksi pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF dari 30 September sehingga 13 Oktober depan di Kazan, Russia.

Skuad negara akan diketuai Juara Terbuka Antarabangsa Remaja Malaysia, Yap Roy King dan juara Terbuka Antarabangsa Remaja India, Ooi Jhr Dar bersama-sama pemain profesional, K Letshanaa dan Arena Satu Samin.

Jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng berkata, pemilihan pada tahun ini lebih mudah dengan mereka yang mempamerkan aksi cemerlang terpilih untuk disenaraikan ke dalam skuad.

“Saya berasakan ini adalah sesi pemilihan paling terbaik untuk barisan pemain remaja negara.

“Ia membabitkan campuran pemain senior seperti Roy King, Jhy Dar, Ching Kai Feng dan Lwi Sheng Hao yang berusia 18 tahun manakala yang lain adalah antara usia 16 dan 17 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan.

Yoke Meng mengakui barisan pemainnya gagal beraksi dengan baik pada Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila tewas di peringkat kumpulan.

“Untuk kali ini kami memperoleh undian yang agak baik tetapi pemain perlu mempamer aksi paling terbaik untuk cuba muncul juara kumpulan.

“Kami perlu berwaspada dengan cabaran dari Hong Kong, Russia dan tidak terlalu yakin kerana ia mungkin akan memberi kesukaran untuk layak ke suku akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 9:52 PM