Pemain Malaysia, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin (tengah) melakukan rembatan ke arah gawang gol lawan.
Pemain Malaysia, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin (tengah) melakukan rembatan ke arah gawang gol lawan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD bawah 15 tahun negara (B-15) mempamerkan belang apabila membelasah pasukan B-15 Mongolia, 10-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Mini Shah Alam, hari ini.

Keputusan itu melegakan ketua jurulatih, P Maniam untuk memilih 23 pemain terbaik bagi membawa cabaran Malaysia di kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Vientiane, Laos, bermula 18 hingga 22 September ini.

Menurutnya, keputusan mengejutkan itu sekali gus memberi petanda positif kemampuan anak didiknya untuk menyaingi pasukan Kemboja, Laos dan Jepun dalam Kumpulan J.

"Saya yakin kejayaan ini memberi keyakinan tinggi kepada pemain kita untuk memulakan kempen bagi kejuaraan AFC 2020.

"Saya berpuas hati, pemain mempamerkan persembahan baik dari segi permainan, gerakan penyudah dan menjaringkan 10 gol tanpa bolos," katanya kepada Arena Metro.

Pemain Malaysia meraikan jaringan menentang Mongolia di Stadium Mini Shah Alam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Pemain Malaysia meraikan jaringan menentang Mongolia di Stadium Mini Shah Alam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Maniam berkata, walaupun rata-rata pemain Mongolia mempunyai fizikal tinggi berbanding pemain negara, namun dari segi taktikal mereka agak kurang.

"Mereka juga bermain agak agresif dan ia bagus bagi memberi tekanan dan cabaran kepada pemain," katanya yang mengakui sudah mempunyai bayangan senarai akhir 23 pemain.

Skuad negara akan menentang Mongolia sekali lagi pada Isnin ini sebelum memulakan kempen AFC 2020 menentang Kemboja pada 18 September diikuti Laos dan Jepun masing-masing pada 20 dan 22 September dengan semua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Nasional Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 9:15 PM