OLTMANS mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara di  Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini. - FOTO BERNAMA
OLTMANS mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini. - FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans sudah mengecilkan skuadnya kepada 21 pemain dalam usaha memilih 18 terbaik beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo pada Oktober dan November depan.

Bermakna Oltmans sudah mengetepikan sembilan pemain yang hampir pasti tidak akan beraksi pada kempen kelayakan dengan antara nama digugurkannya adalah pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan serta penyerang sedang meningkat naik, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

"Daripada senarai 21 pemain ini, saya akan membawa 20 pemain ke siri perlawanan ujian di Korea Selatan. Sebaik pulang dari Korea, barulah saya akan memilih 18 pemain terbaik untuk ke kempen kelayakan dan sebahagian besar mereka ini adalah daripada senarai 21 pemain itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara hari ini.

Pengendali dari Belanda itu berkata, skuad negara akan berlepas ke Korea pada 19 September ini dan bakal mengadakan empat perlawanan persahabatan.

"Ia bukan sekadar perlawanan biasa tetapi sebagai persediaan untuk ke kempen kelayakan Sukan Olimpik. Minggu depan kami akan dapat mengetahui siapakah lawan yang akan ditemui pada kempen kelayakan dan bermula daripada itu, kami akan terus kekal fokus.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan lawan bakal kami temui kerana yang lebih penting adalah persediaan pasukan saya sendiri," katanya.

Majlis undian kempen kelayakan akan berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:29 PM