JOELINTON (dua kiri) menewaskan Lloris untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur, London. — FOTO Reuters
JOELINTON (dua kiri) menewaskan Lloris untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur, London. — FOTO Reuters
Reuters

TOTTENHAM Hotspur tewas mengejut 0-1 di laman sendiri kepada Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi dengan penyerang Brazil, Joelinton meraih gol kemenangan.

Joelinton, pembelian termahal kelab itu dengan harga £40 juta (RM205 juta), menyudahkan peluang menerusi satu serangan balas pantas pada minit ke-27, tenang mengatasi Hugo Lloris selepas menyambut hantaran Christian Atsu.

Kemenangan itu amat diperlukan pengurus Newcastle, Steve Bruce yang tewas dua aksi pertama selepas mengambil alih daripada Rafael Benitez hujung musim lalu.

Tuan rumah berasakan mereka patut mendapat sepakan penalti pada minit ke-78 apabila pertahanan Newcastle, Jamaal Lascelles terjatuh sekali gus menimpa Harry Kane yang turut terjatuh namun pengadil mahupun reviu VAR tidak menganggap ia sebagai penalti.

SPURS kecewa Kane dijatuhkan tetapi tidak mendapat sepakan penalti susulan reviu VAR. — FOTO Reuters
SPURS kecewa Kane dijatuhkan tetapi tidak mendapat sepakan penalti susulan reviu VAR. — FOTO Reuters

Spurs patut menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian namun Lucas Moura merembat melepasi palang selepas mendapat hantaran leret Moussa Sissoko dari kanan.

Selepas tewas 1-3 di kelab pendatang baharu Norwich City minggu lalu, Bruce dikritik hebat penyokong Newcastle yang sukar menerima pelantikannya, sekalipun beliau adalah peminat kelab itu sejak kecil.

“Satu-satunya cara kami membalas kritikan adalah sebegini. Kami hadir ke stadium fantastik ini, kelab fantastik ini dan kami bermain dengan bagus,” kata Bruce.

Bos Spurs, Mauricio Pochettino berkata, pasukannya menerima padah susulan beberapa persembahan buruk secara individu.

“Kami tidak mencipta peluang. Kami menguasai bola tapi kami tidak banyak mencipta peluang gol. Kami tidak menjumpai cara untuk memecah benteng mereka. Mereka amat tersusun dan bertahan dengan bagus,” ujar pengendali dari Argentina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 7:46 AM