FOTO Aswadi Alias
FOTO Aswadi Alias
Datuk Seri Jalani Sidek

HANYA tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum temasya Sukan SEA Filipina bermula. Kalau cerita mengenai Sukan SEA, tidak kira apa juga acara sukan, persaingan antara negara jiran di rantau Asia Tenggara sememangnya sangat sengit.

Sudah pasti masing-masing mahu menghantar atlet terbaik mereka untuk memenangi pingat emas dan ia juga tidak terkecuali untuk acara badminton.

Melihat kepada senario semasa, saya fikir kita harus bersikap lebih realistik kali ini dalam meletakkan sasaran untuk atlet badminton negara di Filipina.

Ini kerana rata-rata pemain negara masih ‘mentah’ dan sedang membina karier mereka. Tidak realistik rasanya meletakkan beban dibahu mereka untuk memenangi pingat emas.

Bercakap mengenai pemain, saya fikir lebih baik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi peluang kepada barisan pemain mereka saja bagi menghadapi temasya Sukan SEA.

Bukan menidakkan kemampuan pemain profesional tetapi apa gunanya mengumpul pemain terbaik di dalam badan induk berkenaan tetapi mereka tidak diberi peluang beraksi pada temasya dwitahunan itu?

Harus diingat, Sukan SEA juga adalah temasya yang seharusnya menjadi platform untuk pemain muda membuktikan kemampuan mereka.

Kalau tak berani hendak mempertaruhkan muka baharu di Sukan SEA, nampaknya sampai ke sudah pemain itu akan ‘membeku’ di dalam BAM saja.

Saya yakin sekiranya barisan pemain muda di dalam BAM diberi peluang beraksi di Sukan SEA, mereka akan dapat membuktikan sesuatu pada edisi seterusnya di Hanoi, Vietnam.

‘Come on’ BAM, berilah muka sikit kepada pemain muda ini.

Jumpa lagi.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:01 AM