Kogileswaran harap skuad B-16 tidak dibiarkan tanpa hala tuju. FOTO ADZLAN SIDEK
Kogileswaran harap skuad B-16 tidak dibiarkan tanpa hala tuju. FOTO ADZLAN SIDEK
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara R Kogileswaran berharap pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) negara tidak dibiarkan tanpa hala tuju selepas beberapa isu mula timbul membabitkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Kogileswaran berkata, cabaran sebenar yang akan ditempuhi oleh pemain skuad bimbingan Lim Teong Kim itu adalah selepas usia 17 tahun apabila mereka keluar dari akademi itu.

“Pemain muda ini masih memerlukan bimbingan, perancangan mereka perlu jelas. Tidak selamanya mereka akan berada dalam program itu selepas berusia 17 tahun. Kalau dulu saya menyertai Harimau Muda C, tapi pasukan itu sudah dibubarkan.

“Itulah cabaran sebenar pemain untuk mendapat peluang di luar, ada yang gagal sebelum ini dan karier mereka terhenti setakat itu saja,” katanya.

Nasib NFDP yang bermula sejak 2014 sedang hangat diperkatakan susulan kegagalan skuad B-16 kendalian Teong Kim mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Malah isu gaji besar Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai serta dakwaan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pelaksanaan program NFDP menjadikan kemelut itu semakin rumit.

Kogileswaran, 20, adalah bekas pemain skuad B-16 yang hampir membawa Malaysia ke Piala Dunia Remaja 2015 di Chile namun tewas 1-2 kepada Australia pada suku akhir Kejohanan AFC 2014 di Bangkok.

Dia yang kini mewakili Pahang adalah antara beberapa pemain daripada skuad yang dilabel ‘generasi emas’ itu yang masih bertahan meneruskan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

“Dulu kami hanya berlatih bersama jurulatih S Balachandran di Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Gambang selama dua tahun, kami tidak berlatih di luar negara. Tapi kami memang fokus dan berdisiplin ketika latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 5:32 PM