TEONG Kim disahkan kekal sebagai Pengarah AMD.
TEONG Kim disahkan kekal sebagai Pengarah AMD.
Aziman Rosdi

 

PETALING JAYA: Status Lim Teong Kim akhirnya terjawab apabila beliau disahkan kekal sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Bagaimanapun bekas pengendali Bayern Munich itu hilang kuasa dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) apabila tugasnya sebagai Pengarah Teknikal kini diambil alih oleh Saad Ichalalene.

Saad sebelum ini adalah Ketua Metodologi, Pendidikan Jurulatih dan Pencarian Bakat NFDP.

Malah Teong Kim yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Oktober 2019 dengan gaji berjumlah RM175,000 juga perlu melaporkan segala tugasnya kepada Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo.

De Roo kini memegang jawatan Penasihat Teknikal NFDP yang turut memantau keseluruhan program AMD.

Keputusan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini yang menjelaskan Teong Kim masih mahu memberikan komitmen dalam program berkenaan.

“Saya sudah beberapa kali berbincang dengan beliau (Teong Kim) dan beliau menyatakan kesediaan untuk menolong dan membantu program ini, dan daripada situ kita akan terus membentuk kerjasama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu NFDP hari ini.

Penstrukturan semula program NFDP itu dibuat ekoran kegagalan pasukan bawah 16 tahun (B-16) negara di bawah kendalian Teong Kim melayakkan diri ke Kejohanan Piala Dunia B-17 2019 di Peru selepas pusingan kelayakan Oktober lalu.

Beberapa jam selepas kegagalan itu, FAM melucutkan jawatan Teong Kim sebagai jurulatih skuad B-16 sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib beliau dalam program NFDP.

Menerusi penstrukturan baharu ini juga, FAM akan memainkan peranan lebih besar berbanding sebelum ini.

“Kita mempunyai peruntukkan RM15 juta menerusi belanjawan Kerajaan Malaysia. Kita mahu memastikan program ini akan membabitkan kerjasama semua pihak, tidak ada lagi yang ketinggalan termasuk FAM, Persatuan Bolasepak Negeri dan kelab komuniti,” kata Syed Saddiq.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:42 PM