MOHD Nidzam Jamil
MOHD Nidzam Jamil
Asrol Awang

[email protected],my

JURULATIH Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil mahu jentera serangan skuad tampil lebih baik dalam saingan Piala Malaysia, 3 Ogos ini.

Bekas pemain kebangsaan itu, berkata, sebanyak 12 gol daripada enam perlawanan terakhir Liga Super dihasilkan membuktikan kemampuan skuad kendaliannya mempamerkan aksi mantap.

“Kami memulakan saingan Liga Super dengan masalah ketumpulan di bahagian serangan, namun, kebangkitan dilakukan pasukan ini pada enam perlawanan terakhir termasuk menang besar 5-1 ke atas Kedah sudah cukup melegakan saya.

“Oleh itu, saya juga berharap bukan saja jentera serangan, malah barisan pemain tengah dan pertahanan juga mampu menyumbangkan gol dalam saingan Piala Malaysia selepas ini,” katanya.

The Fighters diundi dalam Kumpulan D bersama juara 33 kali, Selangor, Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebagai persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia kali ini, Mohd Nidzam berkata, skuad kendaliannya itu akan mengadakan aksi persahabatan bersama beberapa kelab dari Lembah Klang.

Katanya, perlawanan itu perlu untuk memastikan momentum pasukan berada prestasi terbaik untuk berdepan saingan lebih sengit dalam kempen Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 2:12 PM