DATUK Seri Megat Shahriman Zaharudin. — FOTO Owee Ah Chun
DATUK Seri Megat Shahriman Zaharudin. — FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


“SAYA mohon maaf tak tahu kenyataan yang mana,” kata Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin selepas ditanya mengenai permintaan permohonan maaf apabila melabel Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai ‘tempat najis’.

Menurutnya yang juga Chef-de-Mission (CDM) Sukan Para ASEAN 2020, kalau boleh beliau tidak mahu isu itu diperbesarkan.

“Saya pun tak tahu mana satu, sudah lupa dan lama sangat. Minta maaf dan terima kasih kerana saya tidak ingat seperti hilang ingatan. Saya mahu menyumbang kepada sukan yang lebih besar daripada kepentingan individu. Sukan paling utama dan tidak ada apa lebih besar dari negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama pengurus pasukan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menegaskan hanya mahu menjalankan tugas sebagai CDM terlebih dulu tanpa mahu menyentuh mengenai mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM yang ditangguhkan sebelum ini.

“Atlet dan rakyat perlu diutamakan, mengenai saya (yang ingin bertanding jawatan presiden) tidak perlu lagi. Itu yang saya ingin tekankan,” katanya.

Sebelum sidang media, wartawan juga dinasihatkan oleh Naib Presiden MPM, Datuk R Subramaniam supaya tidak bertanyakan mengenai AGM MPM dan hanya boleh menyoal mengenai mesyuarat itu saja.

Arena Metro sebelum ini melaporkan bekas Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Cawangan Sukan Paralimpik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Muhammad Nor Arif Abdullah dan Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Kamarulzaman Kadir menggesa Megat memohon maaf kerana ia seolah-olah menghina mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:56 PM