GOULON
GOULON
Firdaus Hashim


PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Pahang dari Perancis, Herold Goulon menjadi individu kedua dari Malaysia dihantar nama ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pencalonan 2019 selepas bek kanan skuad negara, Syahmi Safari turut dicalonkan sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya menghantar surat rasmi dan rakaman video kepada FIFA petang semalam bagi membolehkan jaringan jarak jauh Goulon itu dipertandingkan.

“Pihak Pahang sudah meluluskan untuk kita menghantar pencalonan gol Goulon ke FIFA dan ia akan dihantar hari ini (semalam).

“Gol itu memang cantik dan selayaknya dihantar bagi membolehkan ia dinilai oleh jawatankuasa teknikal FIFA sekali gus berharap kita dapat tercalon 10 terbaik nanti.

“Goulon menjadi pemain kedua selepas Syahmi (Safari) menjadi individu pertama dihantar FAM untuk pencalonan. Gol Syahmi kita dah hantar awal tahun ini dan mana tahu kedua-duanya boleh berada dalam 10 tercantik,” katanya ketika ditemui pada sidang media kepulangan dua pemain muda bawah 19 (B-19) tahun negara, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar yang menyertai program Asian Eleven di Fukushima, Jepun baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu, Herold mengejutkan ribuan penyokong setia Tok Gajah dan peminat tanah air apabila sepakan percuma dari jarak 50 meter di tepi garisan tengah berjaya menerjah gawang Perak yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Susulan gol ‘ajaib’ berkenaan, FAM membuat penilaian dan perbincangan secara teknikal terhadap gol yang dijaringkan pada masa kecederaan itu yang menyaksikan anak buah Dollah Sallleh mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam aksi pertama separuh akhir Piala FA itu.

Hasil penelitian pakar, badan induk itu memutuskan untuk menghantar gol berkenaan dan ia turut mendapat lampu hijau Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah turut tertarik dengan jaringan itu dan memberi sokongan penuh agar ia dicalonkan ke badan induk dunia itu.

Sebelum ini, FAM mengesahkan sudah menghantar gol Syahmi yang terhasil menerusi tujuh hantaran membabitkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan untuk mengikat Thailand 2-2 di separuh akhir Piala AFF di Bangkok, Disember lalu.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi anugerah gol tercantik Anugerah Puskas FIFA menerusi Faiz Subri pada 2016 hasil sepakan percuma yang dianggap ‘melanggar’ hukum fizik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:00 AM