GOULON ledak gol cantik menerusi sepakan percuma ketika menentang Perak pada aksi pertama separuh akhir Piala FA.
GOULON ledak gol cantik menerusi sepakan percuma ketika menentang Perak pada aksi pertama separuh akhir Piala FA.
Syazwan Msar dan Shahrinnahar Latib


KUALA LUMPUR: Gol ajaib yang dijaringkan pertahanan import Pahang, Herold Goulon layak dicalonkan untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus mengikut jejak Faiz Subri yang memenangi anugerah itu pada 2016.

Faiz berkata, gol berkenaan yang dijaringkan dari jarak kira-kira 50 meter jelas berkualiti dan tidak mustahil mampu meraih kemenangan sepertinya.

Malah, bekas pemain Pulau Pinang itu mengakui jarak yang dilakukan Goulon lebih jauh berbanding jaringannya pada tiga tahun lalu dalam aksi Liga Super berdepan Pahang.

“Memang saya rasa gol itu amat menarik sebab jarak yang dilakukan Goulon juga lebih jauh kalau nak dibandingkan dengan gol yang pernah saya jaringkan tiga tahun lalu.

“Kita dapat lihat dia begitu fokus dalam menyempurnakan sepakan percuma itu untuk menghasilkan gol yang mengejutkan semua penonton ketika itu dan saya sendiri terpegun.

“Berharap juga dia tercalon dalam anugerah itu (Anugerah Puskas FIFA) dan saya rasa peluang untuk dia menang tetap ada jika dia dicalonkan,” katanya mengulas gol cantik Goulun menerusi sepakan percuma dari tengah padang ketika Pahang menewaskan Perak 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu.

Paling utama, Faiz percaya gol Goulon yang berjaya menarik perhatian bukan saja media tempatan, malah antarabangsa mampu menjadikan Liga Malaysia menjadi sebutan di mata dunia.

Antara media yang menyiarkan berita mengenai gol pemain kelahiran Perancis itu termasuk dua media berpengaruh Britain, BBC dan The Guardian.

“Berita seperti itu bagi saya memang bagus untuk naikkan lagi nama Liga Malaysia kerana kita perlu sedar bukan mudah untuk menjadi sebutan di peringkat antarabangsa.

“Apabila banyak media antarabangsa mula mengikuti cerita di sebalik gol cantik yang dihasilkan itu, sudah pastilah ia akan memberi impak positif kepada liga bola sepak kita,” katanya.

Faiz sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain bola sepak Asia pertama yang merangkul anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland menerusi jaringan sensasinya yang berjaya mendapat undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus.

Di Kuantan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyatakan kekaguman terhadap jaringan Goulon.

Menurut jurugambar rasmi istana, Abdul Rahim Othman, perkara itu dinyatakan Sultan Abdullah ketika berjalan menuju ke pesawat peribadi di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, kelmarin.

Katanya, baginda turut menyatakan jaringan itu layak dihantar bagi pencalonan Anugerah Puskas 2019.

“Ketika koi (saya) berjalan mengiring Yang di-Pertuan Agong menuju pesawat, baginda sempat titah tanya koi, ‘Haji Rahim, Kamu tengok bola semalam? “Tuanku terus titah gol ketiga (perlawanan) memang cantik sambil mengangkat ibu jari. Baginda turut bertitah gol berkenaan layak dicalonkan bagi Anugerah Puskas,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook miliknya di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, beliau hanya sempat berbual sedikit saja dengan Sultan Abdullah kerana tidak mahu melanggar protokol diraja.

“Tidak sangka Seri Paduka Baginda masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Begitulah minatnya baginda terhadap sukan bola sepak. Walaupun Tuanku sentiasa sibuk selaku ketua negara sejak menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, namun baginda dan bola sepak tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:00 AM