CHONG Wei mahu habiskan lebih banyak masa bersama isteri tercinta Mew Choo (kiri) dan keluarga. — FOTO Reuters
CHONG Wei mahu habiskan lebih banyak masa bersama isteri tercinta Mew Choo (kiri) dan keluarga. — FOTO Reuters
Ferzalfie Fauzi


DATUK Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bercuti terlebih dulu dalam tempoh setahun dan belum memikirkan mengenai apa yang akan dilakukan selepas bersara.

Dalam wawancara eksklusif bersama Astro Arena malam ini, dia mengakui lebih memikirkan masa yang kurang diluangkan bersama keluarga terutama isterinya, Datin Wong Mew Choo.

“Saya masih berhutang dengan isteri dan akan berehat dulu dalam masa setahun,” katanya yang mengumumkan persaraan secara rasmi semalam.

Bagaimanapun, dia sudah berjanji dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turun padang membantu sukan negara.

“Cakap saja bila-bila masa saya akan turun menjadi rakan sepelatih untuk membantu pemain lain mempersiapkan diri menyertai kejohanan antarabangsa.

“Bukan saja badminton, sukan lain juga saya mampu beri kerjasama kerana saya pernah menjadi atlet dan sentiasa sedia buat terbaik untuk negara,” kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:21 PM