PENULISAN Lee Chong Wei di status Instagram beliau.
PENULISAN Lee Chong Wei di status Instagram beliau.
Ferzalfie Fauzi


DI atas kertas, Malaysia ibarat sang kerdil dan China adalah gergasi yang bila-bila masa saja mudah untuk mencatat kemenangan pada aksi sulung peringkat kumpulan Piala Sudirman esok.

Naib juara edisi 2017 itu menyenaraikan pemain yang berada dalam kedudukan lima terbaik dunia termasuk Shi Yuqi, Chen Long (perseorangan lelaki), Chen Yufei (perseorangan wanita), Li Junhui-Liu Yuchen (beregu lelaki), Chen Qingchen-Jia Yifan (beregu wanita), Zheng Siwei-Huang Yaqiong dan Wang Yilyu-Huang Dongping.

Bagaimanapun, skuad negara yang diketuai pemain beregu campuran, Goh Soon Huat mendapat suntikan semangat luar biasa daripada Datuk Lee Chong Wei.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, memuatnaik status di akaun Instagram dengan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Piala Sudirman negara di Nanning, China.

“Semua pemain lelaki dan wanita, percayalah kepada diri sendiri. Imbau kembali detik permianan terbaik pernah anda semua pamerkan sebelum ini,” kata Chong Wei yang turut memuatnaik gambar skuad dengan meletakkan kapsyen ‘Kebanggaan Kita’.

Chong Wei kali ini tidak berada dalam skuad berkenaan selepas disahkan menghidap kanser hidup sejak Julai lalu dan sekarang ini belum dibenarkan oleh doktor untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

“Kita menghantar skuad muda untuk saingan Piala Sudirman tahun ini. Malaysia bukan pasukan pilihan namun saya percaya pemain kita bukan mudah untuk dijinakkan.

“Bermainlah sehingga ke titisan peluh terakhir. Beraksi demi kebanggaan, demi rakan sepasukan, keluarga dan Jalur Gemilang di dada,” kata Chong Wei.

Ketiadaan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing, London dan Rio itu menyaksikan perseorangan lelaki digalas Lee Zii Jia dan Cheam June Wei, manakala beregu lelaki pula ditunjangi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Perseorangan wanita pula diletakkan harapan kepada Goh Jin Wei dan Soniia Cheah, manakala beregu wanita diwakili pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Tunjang kekuatan skuad negara iaitu beregu campuran digalas gandingan Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pertemuan sulung Kumpulan 1D antara Malaysia dan China akan berlangsung pada jam 6 petang di Pusat Sukan Guangxi, Nanning.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:47 PM