SUAREZ (kanan) terjatuh selepas dibentes Virgil van Dijk di Anfield. — FOTO Reuters
SUAREZ (kanan) terjatuh selepas dibentes Virgil van Dijk di Anfield. — FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Barcelona, Luis Suarez mengecam rakan sepasukannya yang bertahan bagaikan budak sekolah bagi gol keempat ketika mereka kalah mengejut 0-4 di Liverpool awal pagi tadi sekali gus tersingkir daripada Liga Juara-Juara 3-4 secara agregat.

Penyerang Liverpool, Divock Origi meraih gol kemenangan yang melengkapkan kebangkitan anak buah Juergen Klopp, merembat masuk hantaran leret Trent Alexander-Arnold selepas pemain pertahanan itu memperdaya pelawat dengan mengambil sepakan sudut pantas.

“Bagi gol keempat mereka kami kelihatan seperti budak sekolah, kami perlu bersedia dengan setiap kritikan yang akan kami terima,” kata Suarez selepas kepulangan mengecewakan ke bekas kelabnya, yang mana dia beraksi selama tiga tahun sebelum menyertai Barca.

“Kami amat sedih, berasa sengsara, amat terasa kekecewaan ini sekalipun kami pemain profesional.”

ORIGI (tiga kanan) tidak dikawal ketika menjaringkan gol kemenangan Liverpool. — FOTO AFP
ORIGI (tiga kanan) tidak dikawal ketika menjaringkan gol kemenangan Liverpool. — FOTO AFP

Juara Sepanyol, Barca satu-satunya pasukan belum kalah dalam pertandingan itu namun mereka dikejutkan Liverpool, tersingkir daripada Liga Juara-Juara dua tahun berturut-turut selepas kalah 0-3 di AS Roma pada suku akhir musim lalu.

Kelab Catalan itu menang aksi pertama 3-0 di Nou Camp dan pemain kebangsaan Uruguay berusia 32 tahun itu mengakui pasukannya mensia-siakan peluang besar sekali lagi.

“Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini kali kedua perkara sama berlaku terhadap kami. Kami tidak boleh melakukan kesilapan sama dua tahun berturut-turut, ada banyak perkara perlu difikirkan,” ujar Suarez.

“Mereka (Liverpool), melakukan apa yang mereka mahu, menjaringkan gol awal. Mereka percaya dari minit pertama hingga terakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:07 AM