ALEXANDER-ARNOLD (kanan) meraikan jaringan Wijnaldum hasil umpanannya. — FOTO Reuters
ALEXANDER-ARNOLD (kanan) meraikan jaringan Wijnaldum hasil umpanannya. — FOTO Reuters
Reuters

TRENT Alexander-Arnold menyatakan sepakan sudut pantas yang menjurus kepada gol kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi benar-benar satu ‘gerak hati’.

Pertahanan kanan berusia 20 tahun itu membantu gol kedua Liverpool dengan umpanan kepada Georginio Wijnaldum namun ketika agregat terikat 3-3, bola keluar di belakang gol Barcelona pada minit ke-79.

Alexander-Arnold, melihat pertahanan kelab Sepanyol itu masih menyusun barisan, mulanya meninggalkan sudut sebelum pantas kembali untuk menyepak bola kepada Divock Origi yang tidak dikawal, yang merembat melepasi Marc-Andre ter Stegen.

“Saya fikir ia bermula daripada gerak hati,” kata Alexander-Arnold kepada BT Sport. “Ia hanya satu daripada detik yang mana anda melihat peluang dan jelas Div bersedia untuk menyudahkannya.

ORIGI (tiga kanan) mencetus kebangkitan Reds di Anfield. — FOTO EPA
ORIGI (tiga kanan) mencetus kebangkitan Reds di Anfield. — FOTO EPA

“Ia mungkin sampai kepadanya agak cepat tapi dia seorang pemain ternama, menjaringkan dua gol buat kami malam ini dan saya fikir satu daripadanya yang mana setiap orang akan mengingati saat ini.”

Penyerang Belgium, Origi, yang memulakan perlawanan sebagai sebahagian daripada rombakan di serangan susulan ketiadaan Mohamed Salah dan Roberto Firmino kerana kecederaan, mencetus kebangkitan Liverpool dengan gol pertama pada minit ketujuh.

Dengan pemain gantian Wijnaldum menambah dua gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua, Origi berkata, persembahan mereka lebih secara kolektif berbanding individu.

“Saya fikir ia lebih mengenai sepasukan,” katanya. “Kami bertindak dengan amat bagus, kami berjuang dan kami sedar ia akan menjadi malam yang istimewa. Kami juga mahu berjuang untuk pemain yang cedera.

“Ia terlalu istimewa. Sukar untuk menggambarkannya dengan kata-kata. Anda boleh berasakannya, anda boleh mendengar. Mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 12:48 PM