Chong Wei tidak akan beraksi pada Kejohanan Dunia. FOTO NSTP
Chong Wei tidak akan beraksi pada Kejohanan Dunia. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan bahawa jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan beraksi di Kejohanan Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Menurutnya, Chong Wei tidak berada dalam senarai pemain melayakkan diri ke kejohanan berkenaan dan masih menumpukan kepada kekuatan fizikal serta kecergasan bekas pemain nombor satu dunia itu.

"Kita tunggu apa perancangan seterusya buat Chong Wei selepas ini.

Bagaimanapun, kita ada berbincang mengenai bila masa sesuai dan kejohanan apa akan disertainya selepas ini," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kuala Lumpur, hari ini.

Tahun lalu Chong Wei menarik diri pada saat akhir di Kejohanan Dunia dengan alasan mempunyai masalah kesihatan dari segi penafasan.

Selepas itu dia disahkan mengidap kanser hidung peringkat awal memaksa dia berehat panjang untuk menjalani rawatan pemulihan di Taiwan.

"Sekarang kami masih belum mendaftarkan namanya untuk mana-mana kejohanan. Keutamaan Chong Wei adalah kesihatannya.

Fokus mengenai perkara itu dulu dan tunggu sehingga doktor memberi lampu hijau untuk beraksi.

"Apa pun untuk fasa pertama pemain yang melayakkan diri ke Kejohanan Dunia ini, saya sangat gembira melihat senarainya.

Kita mempunyai wakil dari semua bahagian, malah beregu lelaki kita boleh menghantar tiga pasangan," katanya.

Berdasarkan senarai yang melayakkan diri di kejohanan berkenaan, perseorangan lelaki menampilkan Lee Zii Jia dan wakil profesional, Liew Daren.

Beregu lelaki pula tiga pasangan yang berjaya melayakkan diri Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Dua pemain perseorangan wanita yang layak ke kejohanan di Basel, Switzerland itu ialah Goh Jin Wei dan Soniia Cheah.

Beregu wanita pula menampilkan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, manakala beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 2:32 PM