TOTTENHAM memerlukan lebih daripada tuah untuk menang di Amsterdam. — FOTO Agensi
TOTTENHAM memerlukan lebih daripada tuah untuk menang di Amsterdam. — FOTO Agensi
AFP

MAURICIO Pochettino mencabar Tottenham supaya merebut peluang melakar sejarah ketika mereka cuba mengatasi defisit 0-1 menentang Ajax pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Pochettino yakin Tottenham boleh layak ke final Liga Juara-Juara buat julung kali sekalipun kalah aksi pertama di utara London minggu lalu.

Ramai pengulas dan peminat mendakwa Tottenham menyempitkan peluang mereka selepas jaringan Donny van de Beek memberikan Ajax gol berharga untuk dipertahankan di Amsterdam.

Tottenham hadir ke perlawanan terbesar mereka dalam sejarah dengan kekecewaan selepas tewas 0-1 di Bournemouth Sabtu lalu, kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

POCHETTINO tetap bangga sekalipun jika Tottenham tersingkir. — FOTO Agensi
POCHETTINO tetap bangga sekalipun jika Tottenham tersingkir. — FOTO Agensi

Mujurlah Tottenham masih berpeluang untuk berakhir sekurang-kurangnya di tangga keempat Liga Perdana Inggeris selepas Arsenal dan Manchester United seri, Ahad lalu.

“Kami ada dua ‘final’ menentang Ajax dan Everton dan kami berpeluang menentukan sendiri untuk berada dalam posisi baik pada hujung musim,” kata Pochettino.

Sekalipun Tottenham sedar mereka terlepas peluang keemasan untuk layak ke final jika mereka tidak menang pada aksi kedua, Pochettino tetap yakin pemainnya sudah melakukan lebih daripada mencukupi dengan usaha mereka musim ini.

Namun ketika pengendali dari Argentina itu belum menang sebarang trofi utama dalam karier pengurusannya, beliau mengemudi Tottenham ke ambang kejayaan utama dengan kebijakannya menangani situasi rumit.

“Tiada siapa percaya kami akan berada di posisi ini pada minggu terakhir pertandingan,” kata Pochettino.

“Kami berada di posisi yang mana ia terpulang kepada kami untuk berada di final Liga Juara-Juara atau tidak dan kemudian bergantung kepada kami untuk berakhir dalam kelompok empat teratas.

“Ia minggu yang penting dan itulah sebabnya kami perlu bangkit, cuba pulih secepat mungkin dan bersedia sekali lagi tapi apa pun yang berlaku saya tetap bangga.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:25 PM