MAURICIO Pochettino.
MAURICIO Pochettino.
AFP

MAURICIO Pochettino meminta Tottenham melupakan kehilangan Harry Kane dan Son Heung-min ketika mereka bersedia untuk menghadapi Ajax pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Kane mengetuai senarai panjang kecederaan pemain yang turut membabitkan Erik Lamela dan Harry Winks, manakala Son pula digantung perlawanan.

Namun dengan kejayaan meranapkan impian Manchester City meraih empat gelaran pada suku akhir, Pochettino menegaskan kekuatan Spurs terletak kepada keutuhan pasukan yang mampu mengatasi cabaran pemain muda berbakat Ajax.

“Untuk berada di separuh akhir Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang saya impikan. Anda perlu menyelesaikan impian anda, melepasi infiniti,” kata Pochettino pada sidang media pra-perlawanan menjelang penampilan pertama Tottenham pada separuh akhir Piala Eropah sejak 1962.

“Peluang Tottenham beraksi di separuh akhir bukan selalu berlaku. Kami berada dalam situasi yang tidak mungkin berubah dan kami perlu bersedia.

“Adalah mustahil untuk penat, mustahil untuk tidak teruja beraksi. Saya pasti, tidak syak lagi kami akan memilki tenaga sepanjang 90 minit.”

Bagaimanapun, tatkala skuad Pochettino yang keletihan berdepan kekalahan keenam dalam 10 aksi terakhir Liga Perdana kepada West Ham Sabtu lalu, Ajax mendapat rehat seminggu apabila kalendar liga Belanda ditangguhkan bagi memberikan mereka lebih masa membuat persediaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 1:07 AM