FAISAL (kanan) mahu rantai Cabrera jika diberi peluang beraksi.
FAISAL (kanan) mahu rantai Cabrera jika diberi peluang beraksi.
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan skuad Tok Gajah, Faisal Rosli mahu aksi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur Ahad ini, berakhir dengan kemenangan.

Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Tocang dalam kalangan peminat bola sepak Pahang berkata, kutipan tiga mata sudah pasti membantu pasukannya kembali menerajui takhta Liga Super, mengatasi skuad Harimau Selatan itu.

“Ini peluang terbaik untuk kami melakar kemenangan di laman sendiri, paling penting, ia juga adalah peluang untuk kami merampas kembali kedudukan teratas Liga (Super) yang ketika ini hanya dua mata membezakan kami dan JDT.

“Kemenangan ini juga bakal memberi motivasi tambahan kepada semua pemain untuk meneruskan rentak bagi memastikan misi memenangi saingan Liga Super musim ini menjadi kenyataan,” katanya.

Tocang berharap ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh dapat menampilkan barisan terbaik ketika melayan kunjungan pasukan JDT hujung minggu ini.

“Keputusan perlawanan itu nanti banyak bergantung kepada corak taktikal pasukan, saya menaruh keyakinan penuh kepada jurulatih untuk menentukan pemilihan barisan terbaik bagi menggalas tugas, selain percaturan lain bagi memastikan kemenangan milik Pahang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pemain Harimau Selatan yang perlu diberi perhatian, Faisal berkata, kelibat penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera menjadi sasaran utamanya.

“Dia (Cabrera) sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini, jadi sudah pasti menjadi tumpuan utama. Begitu juga dengan penyerang berbisa mereka, Safawi Rasid turut mampu memberi ancaman kepada pasukan Pahang.

“Jadi, kalau saya diturunkan, mereka berdua perlu dikawal sebaik mungkin dan jangan berikan ruang kepada kedua-dua pemain ini mempamerkan aksi terbaik mereka,” katanya.

Selepas 10 perlawanan, hanya dua mata memisahkan Pahang yang kini mengutip 24 mata, manakala JDT pula 26 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 7:00 AM