BBC

LALUAN berliku selaku skuad bukan pilihan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) membuatkan lidah kapten Ajax, Matthijs de Ligt kelu untuk berkata-kata.

Kelab Belanda itu meyingkirkan Real Madrid dan Juventus pada peringkat kalah mati untuk berada pada empat terakhir menanti pemenang Tottenham atau Manchester City.

"Ia pelik. Ia bukan normal. Saya tidak ada perkataan untuk mengatakan apa-apa," kata pemain pertahanan Belanda berusia 19 tahun itu.

"Sekali lagi, keputusan ini membuktikan kami sangat kuat dan boleh menyukarkan pasukan yang besar,” katanya.

De Ligt menanduk masuk gol penting pada suku akhir kedua di Turin yang menyingkirkan gergasi Itali itu untuk mencatat kemenangan agregat 3-2.

Kejayaan itu juga membolehkan jaguh Belanda itu kembali dalam saingan empat pasukan terakhir kejohanan utama kelab Eropah sejak 1997.

"Saya sedikit berasa terlalu ghairah kali ini kerana kami langsung tidak dapat menyudahkan peluang.

“Malah, saya belum lahir ketika kelab ini kali terakhir layak ke separuh akhir UCL," kata De Ligt.

Ajax adalah skuad pertama dari luar England, Jerman, Sepanyol, Itali dan Perancis mara ke separuh akhir sejak musuh kelab senegara, PSV Eindhoven melakukan perkara sama 14 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:42 PM
de Ligt (kanan) meraikan jaringan kemenangan menewaskan Juventus. FOTO REUTERS
de Ligt (kanan) meraikan jaringan kemenangan menewaskan Juventus. FOTO REUTERS