DE Ligt (kanan) ledak gol kemenangan Ajax. FOTO/AFP
DE Ligt (kanan) ledak gol kemenangan Ajax. FOTO/AFP
AFP

AJAX mengejutkan Juventus untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1997 apabila tandukan Matthijs de Ligt pada separuh masa kedua mengesahkan kemenangan 2-1 pada perlawanan suku akhir kedua di Turin awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo, yang memburu gelaran Liga Juara-Juara keenam, melakukan tandukan pada minit ke-28 untuk meletakkan Juventus di depas selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama, namun Donny van de Beek menyamakan kedudukan buat Ajax sebelum tamat separuh masa pertama.

Tandukan bek tengah remaja De Ligt pada pertengahan separuh masa kedua, mengesahkan kemenangan agregat 3-2 dan bakal mempertemukan mereka sama ada Manchester City atau Tottenham.

PEMAIN Ajax meraikan kemenangan. FOTO/AFP
PEMAIN Ajax meraikan kemenangan. FOTO/AFP

Skuad remaja Belanda itu sudahpun menyingkirkan juara bertahan tiga kali Real Madrid dalam laluan ke suku akhir, mengatasi kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada kelab Sepanyol itu dengan kemenangan 4-1 yang paling diingati di Santiago Bernabeu.

“Petang yang menakjubkan buat Ajax dan pemainnya, juga bola sepak Belanda,” kata jurulatih Erik ten Hag.

“Sekali lagi kami menyingkirkan pasukan pilihan.

“Kami katakan sebelum ini, kami bukannya pasukan pilihan tetapi dengan falsafah kami, kami boleh pergi lebih jauh, sekali lagi melepasi kemampuan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:05 AM