Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyeru netizen di Malaysia agar segera mengundi Mohd Faiz Subri (gambar) yang tersenarai dalam anugerah Puskas FIFA 2016 supaya tonggak tengah Pulau Pinang itu menjadi anak tempatan pertama memenangi gelaran itu.

Menerusi kaedah pengundian secara terbuka itu, peminat bola sepak di seluruh dunia berpeluang untuk menentukan pemenang anugerah berkenaan dan sehubungan itu, Khairy mahu kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya netizen tempatan.

Jelasnya, anugerah anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu berdasarkan undi popular sekali gus Faiz dianggap berpeluang meraih gelaran itu.

“Saya berharap sangat netizen Malaysia yang ramai ini dapat mengundi Faiz.

“Mereka ini kalau ada isu cepat membuat kecaman dan tindakan. Kali ini apa kata salurkannya untuk mengundi Faiz kerana dia perlukan undi anda,” katanya ketika ditemui pada program MyCorps-Timur Tengah, di sini, semalam.

Kelmarin, FIFA menerusi lawan web rasminya, www.fifa.com menyenarai pendek 10 gol menarik dari 30 September 2015 sehingga 30 September tahun ini untuk anugerah Puskas FIFA yang menyaksikan gol Faiz turut tersenarai.

Faiz yang melakukan jaringan itu menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika aksi bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, pada 16 Februari lalu berjaya mencuri perhatian dunia apabila bola sepakannya dikatakan ‘melanggar hukum fizik’.

Gol Faiz pada minit ke-62 itu disifatkan sebagai jaringan berkelas dunia dengan video klipnya dikongsi dan menjadi viral di laman sosial di serata dunia, termasuk mengisi ruangan sukan beberapa laman sesawang media antarabangsa.

Malah, ada segelintir peminat juga menyamakan gol itu dengan jaringan bintang Brazil, Roberto Carlos pada 1997.

Tarikh akhir untuk undian awal itu pada 2 Disember sebelum proses mengundi dibuka semula untuk tiga calon terakhir dengan pemenang diumumkan pada 9 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 6:30 AM