JOO Ven pastikan mata kemenangan menentang Macau, hari ini. — FOTO Muhaizan Yahya
JOO Ven pastikan mata kemenangan menentang Macau, hari ini. — FOTO Muhaizan Yahya
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton negara mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Asia apabila mudah membenam Macau 5-0 di Hong Kong, malam ini.

Kemenangan aksi sulung skuad negara dalam saingan Kumpulan D itu menyaksikan Macau terkandas untuk ke pusingan seterusnya apabila mereka tumpas 0-5 kepada China semalam.

Ujian sebenar skuad negara esok apabila mereka berdepan China pada perlawanan terakhir untuk menentukan juara kumpulan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, esok adalah pentas terbaik untuk melihat kemampuan pemain muda negara apabila berdepan Negara Tembok Besar.

SKUAD negara ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong. — FOTO Facebook Soong Joo Ven
SKUAD negara ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong. — FOTO Facebook Soong Joo Ven

“Esok peluang terbaik untuk melihat jurang dengan skuad muda China dan saya harap pemain mampu menunjukkan kemampuan sebenar mereka,” kata Choong Hann yang dihubungi hari ini.

Malaysia memulakan aksi dengan meraih mata sulung menerusi beregu lelaki, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang mengalahkan Iek U Leong-Leong Lok Chong 21-10, 21-9 dan perseorangan wanita, Ho Yen Mei pula mudah menundukkn Pui Chi Wa 21-13, 21-11.

Perseorangan lelaki, Soong Joo Ven yang juga ketua pasukan, mengesahkan mata kemenangan negara selepas menumpaskan Ao Fei Long 21-3, 21-8.

Dua lagi mata disumbang beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang menewaskan Gong Xue Xin-Ng Weng Chi 21-15, 21-12 dan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengalahkan Kuan Chi Leng-Pui Pang Fong 21-12, 21-7.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:15 PM