SWIRAD kali pertama dipanggil sertai skuad Harimau Malaya. — FOTO BERNAMA
SWIRAD kali pertama dipanggil sertai skuad Harimau Malaya. — FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


“JANGAN letak harapan terlalu tinggi,” itu kata-kata ringkas pemain naturalisasi Nicholas Swirad selepas dipanggil kali pertama pada sesi latihan skuad senior sebagai persiapan menghadapi Piala Airmarine.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu juga tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang namun akan memberikan persembahan terbaik dalam usaha memikat pengendali skuad senior Tan Cheng Hoe.

Katanya, dia tidak mahu berada dalam keadaan tertekan apabila banyak pihak meletakkan harapan tinggi kepada pemain naturalisasi yang dianggap boleh membawa perubahan besar kepada pasukan.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih selain cuba membentuk persefahaman dengan pemain lain.

“Saya mahu kehadiran pada sesi latihan ini berbaloi kepada skuad negara dan sudah pasti mahu membantu Malaysia menjuarai Piala Airmarine,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad senior di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Swirad yang juga pemain PKNS FC antara muka baru ditampilkan selain Hadin Azman, Firdaus Saiyadi, Hafiz Ramdan dan S Kumaahran.

Swirad berkata, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal turut memberikan sokongan buatnya menyarung jersi kebangsaan.

“Pengendali PKNS banyak membantu dengan memberikan kata-kata semangat dan nasihat sebaik mengetahui saya dipanggil menjalani sesi latihan bersama skuad senior kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:06 PM