SWIRAD mengakui banyak pertukaran berlaku termasuk corak latihan. FOTO Ihsan MFL
SWIRAD mengakui banyak pertukaran berlaku termasuk corak latihan. FOTO Ihsan MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kekecewaan musim lalu menjadi motivasi buat pertahanan Sri Pahang FC, Nicholas Swirad yang mengharapkan tahun 2022 untuk skuad Tok Gajah bangkit sebagai pencabar utama di Liga Malaysia.

Pemain yang berasal dari Manchester, England ini mengakui cukup positif melihatkan perubahan dalam kem Sri Pahang terutama menerusi kehadiran pengendali baharu dari Perancis, Christophe Gamel.

Malah kehadiran awang import seperti Johan Martial dan Mahmoud Za'tara selain pemain tempatan meletakkan Sri Pahang sebuah skuad yang berbeza dari musim lalu.

"Musim lalu saya rasa tidak sepatutnya Sri Pahang boleh berada di tahap sebegitu dan banyak perkara kami telah diperkatakan, jadi harap perubahan mampu dijelmakan untuk musim ini.

"Bagaimanapun, segala perubahan itu tidak boleh berlaku dalam satu malam sahaja walaupun pasukan alami perubahan dengan pemain dan jurulatih yang baharu.

"Segala-galanya perlu melalui perubahan secara berperingkat namun proses yang sedang berlaku dalam pasukan sememangnya menunjukkan kami sedang menuju ke arah yang tepat.

"Bersama Gamel, banyak pertukaran berlaku termasuk corak latihan dan beliau seorang yang begitu tegas dengan semua pemain, saya rasa ini sememangnya perubahan diperlukan dalam pasukan," katanya.

Swirad antara pemain yang dikekalkan selepas menyertai Sri Pahang pada pertengahan musim lalu dari kelab Thailand, Nongbua Phitchaya.

Boleh beraksi selaku pertahanan tengah dan kanan, Swirad bermain dalam 14 perlawanan musim lalu dan kerap kali bergandingan bersama Herold Goulon atau Muslim Ahmad di barisan pertahanan tengah.

Bagi musim ini, Swirad berazam untuk memburu minit permainan yang lebih banyak walaupun sedar semakin sengit ditambah dengan kehadiran Johan Martial selaku pengganti Goulon selain Wan Amirzafran Wan Nadris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:50 PM