Pemain TFC, Nasrullah Haniff Johan (tiga kiri) diraikan rakan pasukan.
Pemain TFC, Nasrullah Haniff Johan (tiga kiri) diraikan rakan pasukan.
Irfan Malik Muhamad


IRFAN Bakti Abu Salim menyifatkan kejayaan pemainnya menyahut cabaran untuk menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri malam tadi sebagai kejayaan manis dan pencapaian terbaik pasukannya untuk musim ini.

Ini kerana selepas merekod kemenangan pertama di depan penyokong sendiri, tiga gol yang dihasilkan ketika menumbangkan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi adalah jaringan terbanyak dalam satu aksi setakat ini berbanding lima perlawanan terdahulu.

Malah, lebih menggembirakan Irfan apabila anak buahnya berjaya melaksanakan taktikal yang dirancang bermula awal permainan lagi dengan 'mematikan enjin' skuad Hang Tuah kendalian Zainal Abidin Hassan itu yang diketuai kaptennya, Safiq Rahim daripada bergerak bebas.

Irfan Bakti memeluk Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan. FOTO Imran Makhzan.
Irfan Bakti memeluk Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan. FOTO Imran Makhzan.

"Sebelum perlawanan bermula saya ada beritahu pemain supaya meningkatkan prestasi dan perlu mencatat kemenangan di laman sendiri kerana peminat sentiasa memberikan sokongan padu kepada pemain setiap kali beraksi dan mereka dahagakan kemenangan.

"Kita tak mahu selepas ini peminat rasa kecewa dan hilang semangat untuk datang ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan jika masih gagal beraksi dengan baik serta menamatkan kemarau kemenangan di tempat sendiri.

"Ternyata cabaran dan kata-kata yang disampaikan kepada pemain berjaya menyuntik semangat mereka beraksi dengan lebih baik, seterusnya mengutip tiga mata," kata Irfan yang gembira dengan kebangkitan anak buahnya di depan hampir 9,000 peminat setia tuan rumah.

Pada perlawanan itu, pemain pertahanan Nasrullah Hanif Johan meledak jaringan pertama sebelum bekas pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent (Liga Uzbekistan) musim lalu, Sanjar Shaakmedov dan Ahmad Syamim Yahya melengkapkan malam gemilang skuad Penyu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 1:28 PM