BEN Arfa jumpa ‘bos lama’. FOTO Getty Images
BEN Arfa jumpa ‘bos lama’. FOTO Getty Images
AFP

PENGENDALI Arsenal Unai Emery akan berdepan musuh lama apabila Gunners semakin menghampiri kegemilangan Liga Europa dan kembali ke Liga Juara-Juara dengan menentang Rennes awal pagi Jumaat.

Kehebatan Hatem Ben Arfa membantu kelab pertengahan Ligue 1 itu mara ke kelompok 16 terakhir pentas Eropah buat kali pertama.

Ben Arfa ‘menderita’ selama dua tahun di bawah kendalian Emery di Paris Saint-Germain di mana dia dibekukan selama sepanjang musim dan terpaksa berlatih bersama skuad simpanan.

Bagaimanapun pada usia 31 tahun, Ben Arfa kembali melancarkan karier dalam suasana lebih sederhana di Roazhon Park dan mahu membalas dendam terhadap Emery awal pagi Jumaat.

Rennes mungkin berada di tangga ke-10 Ligue 1 namun berjaya mengejutkan Real Betis dalam aksi 32 pasukan terbaik dengan kemenangan agregat 6-4.

“Kami sedar kami perlu meningkatkan tahap permainan menentang kelab seperti itu,” kata pemain tengah Rennes Benjamin Andre.

“Arsenal adalah nama yang bergema di seluruh Eropah. Jelas sekali mereka pasukan pilihan.”

Pergelutan Arsenal pada musim pertama kendalian Emery wajar memberikan keyakinan kepada kelab Perancis itu.

Chelsea pula kekal sebagai pilihan menjuarai kejohanan itu buat kali kedua dalam tempoh enam tahun dan yakin mampu menewaskan Dynamo Kiev di Stamford Bridge apabila Maurizio Sarri bangkit daripada hampir dibuang kerja.

Kemenangan ke atas Tottenham dan Fulham sedikit melegakan selepas tewas 0-6 kepada Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris dan menyaksikan kredibilitinya dipersoalkan penjaga gol Kepa Arrizabalaga yang enggan digantikan pada final Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:16 PM