Darko Markovic (kanan) meraikan jaringan golnya pada perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini. FOTO Bernama.
Darko Markovic (kanan) meraikan jaringan golnya pada perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini. FOTO Bernama.
Nazri Abu Bakar


DARKO Markovic kian memiliki semangat tinggi untuk melonjak kecemerlangan bersama rakan sepasukannya selepas meledak satu gol setakat ini untuk membantu Melaka United mendaki tangga keempat Liga Super.

Walaupun tidak menyasarkan jaringan sebagai keutamaan berbanding kemenangan, namun jaringan peribadinya itu meninggalkan impak besar kepada rakan sepasukan untuk terus membentuk gandingan lebih berbisa.

Pemain kelahiran Montengero terbabit menanduk masuk gol pertama selepas menerima hantaran Faris Shah ketika MU menewaskan Kuala Lumpur 2-0.

Sabtu lalu, dia turut menjadi pemangkin jaringan kedua menerusi Nazrin Nawi yang hanya berselang dua minit gol pertama itu.

Menurutnya, jaringan berkenaan ibarat satu bonus bernilai buatnya namun yang utama dia mampu berperanan aktif untuk memastikan persembahan pasukan kekal konsisten.

"Peranan besar saya adalah menghidupkan jentera pasukan bersama gandingan Safiq Rahim, Liridon Krasniqi dan rakan lain sekali gus melakukan hantaran tepat kepada rakan penyerang serta pantas menutup ruang ketika diasak lawan.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, malah saya juga yakin sentuhan akan terus lebih baik dan memberangsangkan dalam setiap perlawanan akan datang," katanya pemain tengah berusia 31 tahun yang itu pernah beraksi bersama kelab kelahirannya termasuk Buducnost Podgorica, FK Zeta sebelum menyertai Pakhtakor (Uzbekistan).

Dia berpengalaman menyertai kelab Hungary, Ujpest serta kelab Bosnia, Zeljeznicar Sarajevo sebelum ke bandar raya Melaka.

Kelicikan di posisi tengah meletakkan dia sentiasa menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan selain pada masa sama penyokong MU turut menyenaraikannya sebagai pemain terbaik semasa skuad terbabit tatkala berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, dua minggu lalu.

Beliau berkata, sasarannya adalah terus membantu pasukan membawa pulang tiga mata ketika berdepan Terengganu, Sabtu ini di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:33 PM