PEMAIN  PKNP FC, Giancarlo Lopes (kiri) berebut bola dengan pemain Pahang,  Bunyamin Umar di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.  - FOTO Abdullah Yusof
PEMAIN PKNP FC, Giancarlo Lopes (kiri) berebut bola dengan pemain Pahang, Bunyamin Umar di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam. - FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin

PAHANG melaung amaran awal betapa mereka harus dianggap salah satu pasukan pilihan musim ini apabila mudah membenam PKNP FC tiga gol tanpa balas di gelanggang lawan meskipun tanpa kehadiran tiga tonggak utama.

Jurulatihnya, Dollah Salleh, gembira apabila anak didiknya dapat kembali fokus khususnya dalam penguasaan bola berbanding hilang punca ketika menentang Selangor yang mencatat keputusan seri sebelum ini.

"Alhamdulillah, memang kita dapat gol awal tetapi pada babak pertama, kami beraksi dalam keadaan tertekan namun masih mampu mengawal bola dengan baik. Tanpa tiga tonggak, kami masih kekal dengan corak permainan seperti diharapkan dan pada separuh masa kedua, kami berjaya mendapatkan gol awal sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, gol awal babak kedua itu secara tidak langsung menjadikan pemain tuan rumah tertekan dan hasilnya pemain Tok Gajah mengambil kesempatan dengan menambah gol ketiga.

Dollah gembira anak didiknya tampak lebih berkeyakinan pada separuh masa kedua terutama selepas hadir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung tanpa kehadiran Safuwan Baharuddin, Herold Goulon dan Muslim Ahmad.

Lebih manis, pemain Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas lima perlawanan manakala Dickson Nwakaeme menambah jaringan peribadinya kepada empat gol setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:44 PM