CHINA bertindak cemerlang pada Piala Dunia di Bhubaneswar tahun lalu. — FOTO Agensi
CHINA bertindak cemerlang pada Piala Dunia di Bhubaneswar tahun lalu. — FOTO Agensi
Saiful Affendy Sapran


CABARAN getir menanti skuad hoki lelaki negara pada Pusingan Akhir Siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 26 April hingga 4 Mei depan apabila diundi bersama China dalam Kumpulan B.

Menerusi pengumuman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini, skuad negara juga akan berdepan Brazil dan Itali.

Namun China dilihat pencabar sebenar Malaysian Tigers selepas beraksi cemerlang pada Piala Dunia di Bhubaneswar, India tahun lalu sekali gus menyaksikan mereka melonjak ke ranking ke-14 dunia, kurang satu tangga berbanding Malaysia.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans mengakui perkara itu.

“Pada saingan seperti Pusingan Akhir Siri FIH kami tidak boleh memandang rendah semua lawan sebaliknya perlu melakukan persiapan rapi dan berhati-hati dengan cabaran lawan.

“China beraksi baik pada Piala Dunia manakala Itali dan Brazil pula kami sudah lama tidak bertemu mereka. Jadi saya perlu pastikan dapat maklumat terperinci mengenai dua pasukan ini,” katanya.

Skuad wanita negara pula akan beraksi di Dublin, Ireland dari 8 hingga 16 Jun depan.

Pasukan bimbingan Dhaarma Raj Abdullah itu diundi dalam Kumpulan A bersama Republik Czech, Singapura dan tuan rumah, Ireland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:34 PM