SADDIL (kanan) kecewa Pahang hanya seri dengan Melaka sebelum ini. — FOTO Rasul Azli Samad
SADDIL (kanan) kecewa Pahang hanya seri dengan Melaka sebelum ini. — FOTO Rasul Azli Samad
Asrol Awang


PEMAIN import Pahang, Saddil Ramdani percaya kekecewaan skuad itu gagal meraih kemenangan hatrik akan ditebus apabila melayan Selangor di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Bekas pemain Persela Lamongan, Indonesia itu berkata, keputusan seri 1-1 dengan Melaka United minggu lalu sudah dilupakan skuad Tok Gajah.

“Justeru, kami perlu tampil dengan prestasi terbaik terutama mahu menceriakan peminat Tok Gajah dengan misi meraih tiga mata di laman sendiri.

“Sudah pasti kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super musim ini.

“Saya harap dapat mempamerkan prestasi lebih baik dan dapat menjaringkan gol seperti yang dilakukan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas ketiadaan perancang tengah, Nor Azam Azih yang digantung perlawanan, Saddil berkata, skuad itu kehilangan pemain yang bagus dan agresif.

Katanya, Azam memberi impak positif dalam membantu jentera serangan dan bergandingan baik di bahagian tengah.

“Tapi saya percaya pemain yang akan menggantikan Azam mampu bermain dengan bagus untuk menafikan peluang Selangor, Ahad ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 1:12 PM