THIAGO (kiri) mungkin mengisi tempat Vidal. FOTO/AFP
THIAGO (kiri) mungkin mengisi tempat Vidal. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Bintang tengah, Thiago Alcantara dijangka kembali disenaraikan pendahulu, Bayern Munich bagi aksi Bundesliga Jerman menentang Wolfsburg, esok.

Pemain Sepanyol itu terpaksa disisihkan hampir tiga bulan selepas dipalit kecederaan paha ketika pertemuan dengan Anderlecht dalam aksi Eropah, November lalu.

Bayern ketika ini memiliki kelebihan 18 mata di puncak liga diikuti RB Leipzig yang dijadual membuat kunjungan ke Eintracht Frankfurt bagi aksi pertama dalam sejarah Bundesliga yang dilangsungkan pada malam Isnin.

Selepas memperoleh semula kecergasannya, Thiago dikatakan akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Arturo Vidal selepas pemain Chile itu digantung perlawanan.

Kali terakhir bekas pemain Barcelona itu beraksi dalam kempen Bundesliga adalah ketika Bayern meraih kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund, beberapa hari sebelum dia dipalit kecederaan.

“Amat penting untuk memiliki pemain yang kreatif seperti Thiago,” kata jurulatih Bayern, Jupp Heynckes. “Jika saya mengingati semula kemenangan menentang Dortmund, dia bermain dengan cukup bijak pada perlawanan itu.”

Sementara itu, tindakan protes dijangka akan dibuat oleh peminat Leipzig dan Eintracht di Frankfurt selepas Bundesliga memperkenalkan slot jadual baharu yang tidak popular di kalangan peminat bagi mengisi pakej penyiaran televisyen.

Dortmund dalam pada itu dijangka memperoleh kembali trio tengah, Marco Reus, Andre Schuerrle dan Mario Goetze untuk digandingkan bersama bagi aksi menentang Borussia Moenchengladbach pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:19 PM